Friday, December 8, 2017

Video The Making Of ...

Ini ialah projek berkumpulan bagi menghasilkan sebuah video yang berkonsep " the making of ....". 
Bertitik tolak daripada konsep berkenaan, maka saya dan rakan seperjuangan telah sepakat memilih untuk membuat model buah-buahan (strawberry).


Saya mewakili rakan seperjuangan mengucapkan sekalung terima kasih kepada barisan pensayarah subjek GGGE 2123 (teknologi dan inovasi dalam pendidikan). Secara umumnya saya mengucapkan terima kasih  kepada semua  #gengGGGE2123 yang banyak memberikan kerjasama dan secara khasnya saya secara peribadi ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada rakan seperjuangan yang menjadi tulang belakang, pencetus serta mencetuskan idea-idea kreatif bagi melengkapkan tugasan ini .
Rakan seperjuangan yang menjadi tulang belakang bagi menghasilkan video ini  :-

Dari kiri : Natasha Md.Nizam, saya, Haziroh Zaki, Aufa Yusrizal 


Saturday, December 2, 2017

10 Gambar BBM Bukan Elektronik : Ikan oh ikan

Bahan bantu mengajar (BBM) di definisikan sebagai alat atau media yang digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran bertujuan untuk meningkatkan meningkatkan tahap keberkesanan penyampaian isi pembelajaran. BBM merangkumi semua bahan yang boleh dilihat, didengar, dipegang, dibaca, dirasai, dihidu, dan diaplikasikan.

Hari ini saya akan menunjukkan 10 gambar BBM bukan elektronik daripada pelbagai sudut. BBM ini dihasilkan dengan menggunkan konsep kepenggunaan bahan kitar semula.

Bahan-bahan untuk membuat BBM "ikan oh ikan" ialah :-
  • Kertas (lukis dan potong supaya menjadi bentuk ikan)
  • Kekabu/fiber/kapas (untuk diletakkan di dalam ikan)
  • Pakaian terpakai /kain perca
  • Benang
  • Pita pelekat
  • Gam UHU
  • Gunting
  • Manik (Hiasan di mata ikan)
  • Butang (untuk dijadikan mata ikan)
10 gambar hasil daripada bahan-bahan tersebut :-

BBM "ikan oh ikan" setelah disiapkan

BBM yang terhasil (Bahagian Kanan)

BBM yang terhasil (Bahagian Kiri)

Bahagian depan BBM (bahagian kepala ikan)

Bahagian belakang BBM  dari sisi (bahagian ekor)

Bahagian belakang BBM  dari belakang (bahagian ekor)

Bahagian atas BBM

Bahagian bawah BBM

Dari sisi  BBM

Gambar BBM dari sudut tepi dan gambar diambil daripada jauh.

Wednesday, November 29, 2017

Isu : Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah



Bumi berputar pada paksinya dan tidak pernah terhenti walaupun sesaat, begitu juga dengan teknologi dan inovasi pada masa kini yang boleh diumpamakan seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Sebagai seorang bakal guru yang tergolong dalam golongan muda-mudi yang mewarisi khazanah-khazanah kemajuan negara dan telah membesar dalam perkembangan arus permodenan, saya percaya bahawa teknologi dan inovasi bukanlah sesuatu yang dirasakan aneh tetapi menjadi pilihan utama bagi para generasi muda untuk mencari atau berkongsi maklumat, berkomunikasi, serta memudahkan setiap urusan yang dilakukan. Ini kerana segalanya hanya dihujung jari sehingga segala perkara yang ingin diketahui boleh didapati pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja tanpa ada halangan lagi.

Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah (SAPS) merupakan aplikasi yang dibangunkan untuk menyimpan, mengumpul dan menganalisis data keputusan peperiksaan murid di sekolah. Sistem ini dibangunkan secara atas talian yang boleh dicapai oleh semua pihak termasuklah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan sekolah. Kewujudan sistem SAPS ini, memudahkan ibu bapa membuat semakan keputusan peperiksaan anak mereka hanya mendaftar masuk ke laman web ini.

Saya berpendapat bahawa laman sesawang sistem analisis peperiksaan sekolah rendah mahupun menengah merupakan antara teknologi serta inovasi awal yang dilakukan dalam penambahbaikan dan proses pemantapan sistem pendidikan negara kita. Sistem ini berfungsi untuk menjana maklumat peperiksaan anak-anak secara langsung selepas guru-guru memuat naik data-data atau markah para pelajar maka akan terpaparlah di skrin. Sistem ini juga bukan sahaja menjimatkan masa tetapi ia juga amat bersesuaian dengan keadaan semasa dan bertepatan dengan kehendak kemajuan zaman yang telah dikecapi selama 60 tahun kemerdekaan Malaysia (31 Ogos 1957 sehingga kini).

Suatu ketika dahulu, ibu bapa dan guru hanya akan bertemu secara formal apabila hari pertemuan di antara ibu bapa dan guru diadakan namun pertemuan tersebut sedikit sebanyak akan menganggu rutin tugasan harian kedua-dua ibu bapa pelajar. Setelah diteliti mengenai aplikasi ini, maka terserlahlah beberapa kelebihanyang boleh didapati sekiranya kita mengguna pakai sistem ini secara berterusan. Misalnya,ibu bapa boleh menyemak markah dengan menggunakan laman SAPS ini tanpa perlu pergi ke sekolah lagi. prestasi pelajar sekolah dapat diikuti tanpa mengira darjah ketersampaian kawasan sekolah yang terletak di bandar mahupun luar bandar. Guru-guru pula perlu untuk mengisi markah dalam sistem sekolah masing-masing supaya pihak sekolah serta JPN sendiri dapat mengukur pencapaian sesuatu ujian dan dapat mengesan kelemahan murid kerana sistem ini dapat mengeluarkan data yang telah dianalisis.

Selain itu, data bagi setiap matapelajaran juga senang diperolehi kerana semua guru matapelajaran akan memasukkan markah dalam sistem. Oleh yang demikian guru kelas tidak perlu untuk menagih markah daripada semua guru. Guru kelas hanya perlu meminta guru matapelajaran mengisi markah ke dalam SAPS sebelum keputusan dianalisis secara automatik. Di samping itu, guru kelas juga tidak perlu untuk analisis markah secara manual kerana segala data akan diproses oleh sistem SAPS. Ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban kerja guru kelas di luar bilik darjah. Setiap guru yang bertanggungjawab mengendalikan urusan kelas-kelas hanya perlu memproses markah murid dan keputusan akan diperolehi secara langsung.

Seterusnya, sistem ini dikatakan mudah kerana setiap individu daripada peringkat golongan atasan sama ada sekolah, PPD, JPN dan KPM boleh terus melihat prestasi sesebuah sekolah dengan hanya membuka SAPS. Pihak atasan tidak perlu lagi untuk menagih keputusan kerana semuanya telah terkandung di dalam SAPS ini. 

Walaubagaimana pun, harus juga diakui bahawa sistem ini mempunyai kelemahan yang tersendiri. Ia boleh juga diumpamakan seperti manusia yang walau sehebat apa dan setinggi mana darjatnya tetap mempunyai kelemahan. Kelemahan yang ketara dilihat ialah tempoh masa untuk memasuki sistem ini, purata seorang guru mengatakan bahawa mereka terpaksa mendaftar masuk sebanyak 3 hingga 10 kali kerana  kebiasannya apabila menggunakan sistem ini pasti akan tersekat serta terkeluar daripada aplikasi sistem secara automatik. Ini sekaligus  menyebabkan para pendaftar seperti guru perlu mendaftar masuk semula secara berulang-ulangk kali. Satu lagi kelemahan yang ketara terlihat ialah aplikasi ini akan mengalami masalah sekiranya bilangan guru yang ingin mendaftar masuk untuk melakukan penambahan data melebihi daripada 1000 orang guru pada setiap masa.  Kelemahan-kelemahan ini juga menyebabkan gangguan kepada guru untuk mengumpul atau memuat naik data yang baru.

Sebagai bakal guru, saya melihat hal ini sebagai satu masalah yang harus ditangani dengan segera bagi memastikan aspirasi pendidikan negara 2050 dapat dicapai dengan jayanya. Antara penambahbaikan yang boleh dilakukan ialah pihak kerajaan boleh mewujudkan jawatan pegawai pengendali data yang sememangnya mahir dengan aplikasi teknologi supaya tugasan memuat naik dan pengumpulan data tidak lagi membebankan guru. Selain daripada itu, pihak yang bertanggungjawab perlu untuk menyediakan kemudahan jalur lebar yang pantas bersesuaian dengan pengaplikasian sistem ini bagi mewujudkan corak kerja yang sistematik. Di samping itu, pihak-pihak pengendali sistem maklumat pendidikan boleh mewujudkan jadual khas mengenai jangka masa tertentu yang dibuat secara berkala bagi setiap daerah untuk memuat naik data.
  
Konklusinya, sistem ini sangat bermanfaat dan wajar dikekalkan penggunaannya seiring dengan perkembangan zaman dan gaya hidup masyarakat berkerjaya hari ini yang sangat mementingkan masa. Oleh disebabkan itu, penambahbaikan demi penambahbaikan perlu dilakukan bagi memastikan standard pendidikan negara kekal cemerlang, gemilang, terbilang sehingga mampu untuk duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju.



Friday, October 6, 2017

10 Video Teknologi dan Inovasi dalam Pendidikan Khas

1) Music technology for special needs students.
Video ini memaparkan tentang penggunaan alat muzik yang telah diberi nafas baru bagi memudahkan serta menarik minat pelajar kelainan upaya untuk mempelajari tentang alat muzik. Kecanggihan peralatan ini pasti akan menarik minat pelajar.

2) Smart devices for special educations.
Penggunaan teknologi dalam sistem pendidikan sudah tidak asing lagi, malah semakin berkembang pesat. Bidang pendidikan khas juga tidak ketinggalan merasai revolusi teknologi dan inovasi yang sesuai pada zaman ini.


  3) Romibo  robot for education and autism.
Romibo bukan sekadar robot mainan biasa tetapi romibo adalah robot yang mampu untuk berkomunikasi dengan baik. Oleh itu, Romibo digunakan untuk menjadi teman dan guru bahasa bagi kanak-kanak autism.  Hasil penggunaannya, menjadikan kanak-kanak autism mampu berkomunikasi dan lebih ceria.

4) Special educational needs : working with children on physical activities.
Video ini mengenai teknologi “aerofloor”. “Aerofloor” digunakan semasa aktiviti melompat atau fizikal di sekolah pendidikan khas. Ini bagi menjamin keselamatan kanak-kanak kerana sesetengah  kanak-kanak pendidikan khas sukar untuk mengimbangkan badan. Alat ini berbentuk seperti tilam dan teksturnya yang lembut menjadikan aktiviti fizikal yang dilakukan selamat dan menyeronokkan.

5) Future technology for handicapped.
Video ini menunjukkkan seorang  wanita yang lumpuh mampu berjalan semua dengan bantuan alat teknologi dan inovasi.  Alat ini sesuai untuk digunakan oleh golongan kurang keupayaan fizikal kerana ia akan memudahkan mereka untuk berjalan dan tidak perlu menggunakan kerusi roda lagi. Selain itu, aktiviti rutin juga menjadi mudah kerana mereka tidak perlu meminta bantuan daripada orang lain lagi.

 6) Elderly people and disabled latest innovations.
Video ini menunjukkan konsep inovasi mampu menjadikan sesuatu alat atau objek itu menjadi pelbagai fungsi. Contohnya seperti yang ditunjukkan oleh video ini, palang penyangkut tuala atau pakaian diberikan nafas baru yang memberi kan banyak manfaat kepada insan-insan yang memerlukan.   Alat ini memudahkan individu kurang keupayaan untuk melakukan urusan pengurusan diri secara lebih peribadi  dan selamat walaupun tidak mendapat bantu orang lain.

7) Braille glove.
Video ini menunjukkan bahawa teknologi memberikan banyak manfaat kepada individu kelainan upaya. Alat ini hanya perlu dipakai di tangan dan wayar yang sedia ada perlu disambungkan kepada telefon pintar. Penggunaan alat ini juga adalah sangat mudah iaitu pemakainya hanya perlu menggerakkan jari mengikut kod braille setiap huruf yang ingin ditaip untuk menghantar pesanan ringkas  ataupun mengemaskini media sosial. Selain itu, alat ini juga boleh mengeluarkan suara untuk membaca pesanan yang dihantar kepada penggunanya.

 8)  Wrist-mounted glove helps blind navigate.
Video ini menunjukkan bagaimana inovasi kepada sarung tangan boleh membantu individu istimewa untuk berjalan di tempat awam tanpa menggunakan tongkat. Alat ini menggunakan teknologi  ultrasonic yang mampu mengesan objek atau manusia yang berada dalam jarak 10 kaki.

9) Blind man can see with new technology : Plastic fantastic brain.
Video ini menunjukkan seorang lelaki yang mempunyai masalah kurang keupayaan penglihatan sejak lahir ini mampu untuk melihat semula dengan menggunakan alat hasil daripada teknologi dan inovasi. Alat tersebut berfungsi dengan getaran dan  ransangan daripada baahgian tengah lidah.

10)  What is AAC? Augmentative and Alternative Communication.
AAC adalah satu aplikasi di dalam tablet pintar yang dicipta untuk membantu kanak-kanak kelainan upaya supaya boleh berkomunikasi dengan baik. Program ini menggunakan konsep belajar sambal bermain dan telah mendatangkan banyak kesan positif kepada kanak-kanak kelainan upaya.

Thursday, October 5, 2017

10 Foto Teknologi dan Inovasi dalam Pendidikan

Pada zaman yang pesat membangun ini, teknologi dan inovasi semakin giat diperkembangkan dalam pelbagai bidang seperti pertanian, perubatan, pelancongan dan sebagainya. Bidang pendidikan juga tidak ketinggalan menerima tempias teknologi dan inovasi. Antara contoh alat teknologi dan inovasi dalam pengajaran dan pembelajaran adalah seperti berikut :-
1) Looking Glass I-pad / Transparent I-pad
Transparent I-pad membolehkan pengguna seperti  guru dan pelajar memperolehi sesuatu maklumat dengan mudah. Ia berbentuk seperti I-pad dan bersifat lutsinar. Antara fungsinya ialah apabila seseorang individu ataupun pengguna itu melihat sesuatu objek sama ada pokok, bangunan, haiwan atau apa-apa sahaja, dan tertanya-tanya mengenai objek tersebut, pengguna hanya perlu menghalakan Transparent I-pad ini kearah objek tersebut dan secara automatik Transparent I-pad ini akan menunjukkan beberapa carian jawapan yang telah dijumpai di dalam sistem.. Alat ini juga sangat membantu untuk individu  menjaga kesihatan dan mengetahui mengenai nutrisi pemakanan dalam setiap makanan yang disajikan di restaurant.

2)  Virtual Googles
Gambar di atas, menunjukkan wanita tersebut sedang menggunakan alat berteknologi virtualyang disebut sebagai Wear VR920.Disebut sebagai VR920 merujuk kepada konsep “virtual dan realiti” manakala “920” merujuk kepada hari produk ini dilancarkan iaitu 20 September 2013. Alat ini berfungsi sebagai output video. Ia boleh melihat pelbagai maklumat seperti yang terdapat dalam komputer melalui kaca mata tersebut. Penggunaan alat ini mampu untuk menarik minat pelajar serta membantu guru untuk mendapatkan maklumat dengan cepat untuk disampaikan kepada pelajar.

3)  3D Hologram
Teknologi Hologram ini telah diaplikasikan pada televisyen yang menggunakan sistem 3D Hologram. Teknologi terbaru ini menjadikan gambar-gambar kelihatan seakan-akan keluar dari layar paparan.. Teknologi holografik ini memudahkan para pengguna untuk merasakan gambaran tersebut menjadi realiti. Gambar atau objek yang dilihat sebenarnya hanyalah ilusi. Ini kerana ia telah diolah menjadi data-data pixel holografik oleh sistem di dalam komputer dan sistem akan menghantar signal dengan dua pancaran laser. Hasil daripada proses tersebut akan direkod dan dipancarkan semula kepada para pengguna. Dari sudut pengajaran dan pembelajaran, teknologi ini akan membantu guru untuk menyampaikan pengajaran walaupun tidak hadir ke kelas untuk mengajar pada hari tersebut. Teknologi ini sangat membantu untuk meringankan beban tugas guru itu sendiri.

4) Alat Pelukis Garisan

Alat ini digunakan untuk melakarkan garisan dengan hanya menggunakan pen atau pensil dengan tepat dan tanpa perlu menggunakan  pembaris lagi. Cara penggunaannya hanya dengan meletakkan pen atau pensil seperti di dalam gambar. Kemudian, tarik perlahan-lahan untuk menggerakkan roda  sehingga garisan lurus terlakar. Alat ini telah dicipta oleh seorang rakyat Korea yang bernama Giha Woo.

5) ‘Bat Mouse’ Terbang
Bat Mouse Terbang ini mempunyai fungsi seperti tetikus pada komputer. Alat ini akan melayang hingga ketinggian 40 mm dengan sendirinya atau 10mm di bawah kawal tangan manusia. Cara untuk mengawal alat ini ialah dengan menggunakan cincin magnetic yang didatangkan bersama-sama tetikus ini. Selain itu, alat ini juga dapat mencegah kerosakan pada saraf tangan pengguna yang sering menggunakan tetikus di pejabat ataupun di rumah. Ia dicipta secara khusus untuk mencegah mereka yang menggunakan tetikus secara kerap dari kesakitan di pergelangan tangan, jari, dan bahu (sindrom carpal tunnel). Sindrom tersebut terjadi akibat penggunaan mouse dalam jangka panjang. Alat ini didatangkan dalam dua warna iaitu hitam dan putih.

6)  Alat Bantuan Pendengaran
Implan koklea adalah alat bantuan pendengaran yang memberi rangsangan auditori kepada individu yang mengalami masalah pendengaran. Dihasilkan dengan dua bahagian iaitu elektrod penerima dan magnet perangkai yang ditanam di belakang telinga manakala bahagian luar bertindak sebagai pemproses pertuturan.Setiap satunya dikhususkan untuk individu yang mengalami masalah pendengaran semulajadi sejak lahir atau separa dan mereka yang lahir tanpa lubang telinga. Jika dulu implan koklea hanya membantu pendengaran, sesuai dengan perubahan teknologi generasi baru koklea ini berupaya meningkatkan kualiti kehidupan individu yang memakainya. Alat ini membantu untuk individu bermasalah pendengaran untuk mendengar semasa guru mengajar di kelas.

7)  Alat Bantu OKU Bertapak
Alat bantu OKU bertapak ini telah diuji keberkesannya sehingga ke Kutub Selatan walaupun pada awalnya pencipta alat ini sendiri tidak berani menaruh sebarang harapan. Namun, Geran Korgan, seorang  atlet yang berani dan kurang upaya yang hilang kawalan ke atas kakinya selepas kecederaan adalah satu langkah lebih dekat untuk mencapai matlamat beliau dengan dua konsep inovatif hijau. Yang pertama adalah sistem photovoltaic, Sherpa 120 Pengembaraan Kit, dibangunkan oleh Goal Zero, direka untuk menjana kuasa semua jenis alat, daripada telefon pintar dan komputer riba, GPS, lampu dan peranti USB. Kit datang dengan panel solar dan boleh cas semula peranti dalam cara yang mesra alam dalam sehingga 5 jam. Yang kedua adalah sepasang stoking dipanaskan berteknologi tinggi, yang dilancarkan di pasaran oleh satuan Therma-ic, yang dilengkapi dengan pek bateri PowerSock, mengekalkan kehangatan kaki Korgan dan membantu dia menyelesaikan misinya. Alat ini sangat membantu mereka yang tidak mempunyai kaki untuk kelihatan normal semula seperti individu yang lain.

8)      Datastickies
USB Flash Drive konvensional akan digantikan kedudukan dan fungsinya oleh sebuah peranti baru yang dinamakan Datastickies. Penyimpan memori data ini diproduksi senipis kain dengan bentuk yang lebih mirip  seperti kertas post-it, alat ini punya kemampuan memindah data hanya dengan menampalkannya pada komputer atau tablet dengan pelekat khusus. Penciptanya bernama Aditi Singh telah Berjaya mencipta peranti tersebut  dari graphene, bahan konduktif super kuat yang dilapisi atom karbon. Untuk memakainya, alat ini boleh disusun bertompok bersama kertas post-it dan boleh di tarik satu per satu apabila anda ingin memindahkan data ke perangkat/peranti yang lain. Datastickies akan dijual dalam berbagai warna dan pola. Ukuran saiz peranti terbesar adalah 32GB.

9)  Digital Switcher Selector
Alat ini dinamakan sebagai digital switcher selector. Ia berfungsi sebagai alatan ICT   untuk menghidupkan ataupun mematikan beberapa jumlah saluran speaker kelas hanya dengan satu suis sahaja. Selain itu, ia juga boleh menghidupkan atau mematikan satu group saluran speaker kelas (Group kelas 1, 2, atau 3 sahaja) hanya dengan satu suis. Setiap saluran memiliki indikator lampu yang menyala pada saat saluran aktif sehingga mudah untuk diketahui. Jumlah saluran tidak terbatas kerana ia dapat dikembangkan sesuai dengan keperluan pihak pengguna seperti pihak pentadbiran sekolah serta guru-guru. Penggunaan alatan ini lebih kelihatan professional dan mengikut peredaran semasa.

10)  Sistem Tindakbalas Pelajar
Di negara barat, rata-ratanya kebanyakan sekolah menyediakan alatan ini iaitu alat sistem tindakbalas pelajar. Alat ini akan yang membantu pelajar untuk memberi respon terhadap pembelajaran yang sedang berlangsung. Alat ini membantu guru dan pelajar untuk lebih terlibat dalam sesi pengajaran dan pembelajaran yang sedang berlangsung. Selain itu, pelajar tidak perlu lagi ragu-ragu mahupun malu-malu mengangkat tangan  untuk menyatakan ketidakfahaman mereka kerana melalui alat ini segala respon pelajar akan dihubungkan kepada alat tindakbalas khas yang disediakan untuk guru.

Monday, September 25, 2017

Jangkaan Terhadap Subjek Teknologi dan Inovasi dalam Pendidikan


 Diantara jangkaan saya terhadap kursus ini ialah kursus ini dapat membantu saya meningkatkan kemahiran dan pengetahuan saya mengenai teknologi sesuai dengan peredaran zaman. Di samping itu, sebagai pelajar bidang pendidikan dan seorang bakal guru saya berpendapat kursus ini akan dapat membantu saya untuk menyediakan medium pengajaran yang menarik dan tidak hanya bergantung kepada penggunaan buku teks semata-mata. Selain itu,saya menjangkakan konsep inovasi pula akan banyak membantu saya untuk lebih menerokai  penggunaan teknologi yang semakin pelbagai kepenggunaannya. Akhir sekali, saya percaya bahawa subjek teknologi dan inovasi dalam pendidikan akan banyak memberikan manfaat kepada diri serta kerjaya saya yang akan datang sekaligus membantu saya untuk menjadi antara pendaulatkan amanah negara yang sentiasa mengilhamkan harapan sehingga mampu mencipta sesuatu yang lebih baik di masa hadapan. Sekian, terima kasih.