Wednesday, November 29, 2017

Isu : Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah



Bumi berputar pada paksinya dan tidak pernah terhenti walaupun sesaat, begitu juga dengan teknologi dan inovasi pada masa kini yang boleh diumpamakan seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Sebagai seorang bakal guru yang tergolong dalam golongan muda-mudi yang mewarisi khazanah-khazanah kemajuan negara dan telah membesar dalam perkembangan arus permodenan, saya percaya bahawa teknologi dan inovasi bukanlah sesuatu yang dirasakan aneh tetapi menjadi pilihan utama bagi para generasi muda untuk mencari atau berkongsi maklumat, berkomunikasi, serta memudahkan setiap urusan yang dilakukan. Ini kerana segalanya hanya dihujung jari sehingga segala perkara yang ingin diketahui boleh didapati pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja tanpa ada halangan lagi.

Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah (SAPS) merupakan aplikasi yang dibangunkan untuk menyimpan, mengumpul dan menganalisis data keputusan peperiksaan murid di sekolah. Sistem ini dibangunkan secara atas talian yang boleh dicapai oleh semua pihak termasuklah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan sekolah. Kewujudan sistem SAPS ini, memudahkan ibu bapa membuat semakan keputusan peperiksaan anak mereka hanya mendaftar masuk ke laman web ini.

Saya berpendapat bahawa laman sesawang sistem analisis peperiksaan sekolah rendah mahupun menengah merupakan antara teknologi serta inovasi awal yang dilakukan dalam penambahbaikan dan proses pemantapan sistem pendidikan negara kita. Sistem ini berfungsi untuk menjana maklumat peperiksaan anak-anak secara langsung selepas guru-guru memuat naik data-data atau markah para pelajar maka akan terpaparlah di skrin. Sistem ini juga bukan sahaja menjimatkan masa tetapi ia juga amat bersesuaian dengan keadaan semasa dan bertepatan dengan kehendak kemajuan zaman yang telah dikecapi selama 60 tahun kemerdekaan Malaysia (31 Ogos 1957 sehingga kini).

Suatu ketika dahulu, ibu bapa dan guru hanya akan bertemu secara formal apabila hari pertemuan di antara ibu bapa dan guru diadakan namun pertemuan tersebut sedikit sebanyak akan menganggu rutin tugasan harian kedua-dua ibu bapa pelajar. Setelah diteliti mengenai aplikasi ini, maka terserlahlah beberapa kelebihanyang boleh didapati sekiranya kita mengguna pakai sistem ini secara berterusan. Misalnya,ibu bapa boleh menyemak markah dengan menggunakan laman SAPS ini tanpa perlu pergi ke sekolah lagi. prestasi pelajar sekolah dapat diikuti tanpa mengira darjah ketersampaian kawasan sekolah yang terletak di bandar mahupun luar bandar. Guru-guru pula perlu untuk mengisi markah dalam sistem sekolah masing-masing supaya pihak sekolah serta JPN sendiri dapat mengukur pencapaian sesuatu ujian dan dapat mengesan kelemahan murid kerana sistem ini dapat mengeluarkan data yang telah dianalisis.

Selain itu, data bagi setiap matapelajaran juga senang diperolehi kerana semua guru matapelajaran akan memasukkan markah dalam sistem. Oleh yang demikian guru kelas tidak perlu untuk menagih markah daripada semua guru. Guru kelas hanya perlu meminta guru matapelajaran mengisi markah ke dalam SAPS sebelum keputusan dianalisis secara automatik. Di samping itu, guru kelas juga tidak perlu untuk analisis markah secara manual kerana segala data akan diproses oleh sistem SAPS. Ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban kerja guru kelas di luar bilik darjah. Setiap guru yang bertanggungjawab mengendalikan urusan kelas-kelas hanya perlu memproses markah murid dan keputusan akan diperolehi secara langsung.

Seterusnya, sistem ini dikatakan mudah kerana setiap individu daripada peringkat golongan atasan sama ada sekolah, PPD, JPN dan KPM boleh terus melihat prestasi sesebuah sekolah dengan hanya membuka SAPS. Pihak atasan tidak perlu lagi untuk menagih keputusan kerana semuanya telah terkandung di dalam SAPS ini. 

Walaubagaimana pun, harus juga diakui bahawa sistem ini mempunyai kelemahan yang tersendiri. Ia boleh juga diumpamakan seperti manusia yang walau sehebat apa dan setinggi mana darjatnya tetap mempunyai kelemahan. Kelemahan yang ketara dilihat ialah tempoh masa untuk memasuki sistem ini, purata seorang guru mengatakan bahawa mereka terpaksa mendaftar masuk sebanyak 3 hingga 10 kali kerana  kebiasannya apabila menggunakan sistem ini pasti akan tersekat serta terkeluar daripada aplikasi sistem secara automatik. Ini sekaligus  menyebabkan para pendaftar seperti guru perlu mendaftar masuk semula secara berulang-ulangk kali. Satu lagi kelemahan yang ketara terlihat ialah aplikasi ini akan mengalami masalah sekiranya bilangan guru yang ingin mendaftar masuk untuk melakukan penambahan data melebihi daripada 1000 orang guru pada setiap masa.  Kelemahan-kelemahan ini juga menyebabkan gangguan kepada guru untuk mengumpul atau memuat naik data yang baru.

Sebagai bakal guru, saya melihat hal ini sebagai satu masalah yang harus ditangani dengan segera bagi memastikan aspirasi pendidikan negara 2050 dapat dicapai dengan jayanya. Antara penambahbaikan yang boleh dilakukan ialah pihak kerajaan boleh mewujudkan jawatan pegawai pengendali data yang sememangnya mahir dengan aplikasi teknologi supaya tugasan memuat naik dan pengumpulan data tidak lagi membebankan guru. Selain daripada itu, pihak yang bertanggungjawab perlu untuk menyediakan kemudahan jalur lebar yang pantas bersesuaian dengan pengaplikasian sistem ini bagi mewujudkan corak kerja yang sistematik. Di samping itu, pihak-pihak pengendali sistem maklumat pendidikan boleh mewujudkan jadual khas mengenai jangka masa tertentu yang dibuat secara berkala bagi setiap daerah untuk memuat naik data.
  
Konklusinya, sistem ini sangat bermanfaat dan wajar dikekalkan penggunaannya seiring dengan perkembangan zaman dan gaya hidup masyarakat berkerjaya hari ini yang sangat mementingkan masa. Oleh disebabkan itu, penambahbaikan demi penambahbaikan perlu dilakukan bagi memastikan standard pendidikan negara kekal cemerlang, gemilang, terbilang sehingga mampu untuk duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju.